Quantcast
Channel: Singgahsana Kitchen
Viewing all 285 articles
Browse latest View live

SAMBAL CILI KICAP & TAUHU GORENG

$
0
0

Selepas entri Kerabu Telur & Sambal Tumis Telur, kita teruskan lagi dengan entri sambal juga iaitu Sambal Cili Kicap. Rasa pedas-pedas, manis-manis... sangat sedap dan sesuai sebagai pencicah apa saja yang bergoreng mahupun bakar. Tak ingat resipi dapat mana. Oleh sebab rasanya lulus cop sirim maka EJ panjangkan di sini.


SAMBAL CILI KICAP
by EJHouseofssk

Bahan-Bahan :
1 cwn Cili Api | separuh buang tangkai, separuh lagi biar
1 cwn Kismis
1 cwn Kicap Lemak
4 ulas Bawang Putih | hiris
1 sdb Minyak Masak
1/2 biji Lemon/Jus Limau Nipis/Kasturi

Cara :
- Panaskan minyak dalam kuali
- Tumis bawang putih hingga layu
- Masukkan cili, kacau goreng sehingga lembut sikit
- Masukkan kismis, gaul lagi sehingga rata dalam 2-3 minit
- Sudah siap goreng, masukkan dalam blender dan tuang kicap
- Kisar sampai halus (tak perlu tambah air)
- Perah jus lemon/limau nipis/kasturi
- Masukkan ke dalam bekas, simpan dalam peti sejuk. Boleh tahan sehingga sebulan

Tips :
*tangkai cili tak dibuang kerana tangkainya ada penawar supaya tak sakit perut


Takkan sambal kicap single dia saja. Mesti nak ada peneman... baru best cicah. So EJ goreng tauhu. Tapi bukan goreng kosong tau... ada bater khas. EJ panjangkan di sini, perkongsian oleh Arwah Roslan Mamak Haji. Banyak resipi masakan Penang beliau sudah EJ cuba. Semuanya marvellous. Al-Fatihah buat beliau. 


TAUHU GORENG
by EJHouseofSSK

Bahan-Bahan :
100 gm Tepung Beras
50 gm Tepung Ubi
1/2 cwn Santan
1 biji Telur
1/4 sdk Serbuk Kunyit
Garam secukup rasa

Cara :
- Adunkan semua bahan dengan sedikit air untuk dapatkan hasil bater yang baik
- Kepekatan bater sama seperti goreng pisang. Jangan terlalu pekat jangan terlalu cair
- Potong tauhu ikut suka. Celup satu persatu dan goreng sehingga kuning keemasan. Angkat dan tos
- Sedia untuk dihidang bersama sambal cili kicap.


Siap hidangan berasas telur. Sambal tumis telur bunga, nyonya kerabu telur, tauhu goreng, sambal cili kicap, nasi putih & ulaman. Nampak simple tapi memakan masa juga untuk siapkan menjadi satu hidangan. Style nyonya ada... melayu ada... jawa pun ada.

Berbaloi, hilang penat. Semua menu Two-Thumbs Up! Bukan masuk lif tekan sendiri eh... memang betul-betul sedap.




NASI GORENG CILI KERING Orang Tua-Tua Dulu

$
0
0

Bersua kembali...

Seminggu dapur tak berasap. Semua gara-gara bekalan air terputus. Nak tunggu air ada balik tak tahu bila. So EJ berdua beranak cabut balik kampung. Seminggu duduk kampung sambil-sambil sedut angin desa damaikan fikiran. Baru tiga hari lepas balik sini balik. Nak bagi berasap semula dapur lemau je rasa hehhe. Dalam lemau-lemau siap juga menu ayam rendang untuk dinner malam semalam sebab nak guna daun kunyit dengan daun limau purut fresh bawa dari kampung. Lagipun masak rendang tak susah mana... potong-potong, blend dan leburkan semua dalam kuali... siap



Pagi ni tengok nasi ada lebih dalam sepinggan. Kebetulan dari semalam tekak teringin sangat nasi goreng cili kering orang tua-tua dulu. Takde banyak fikir terus capai segala bahan. Lama juga tak makan style cili kering nih... selalu duk buat style lain. Last post nasi goreng cenggini tiga tahun lalu tak silap. Alang-alang dah teringin buat aje walaupun nasi yang ada tak banyak tapi boleh lah untuk berdua makan.

Tak jauh beza pun dengan resipi yang dulu tapi letak juga lah. Lain orang lain cara. Tentang penggunaan bahan dan cara setiap orang ada keselesaannya sendiri.


NASI GORENG CILI KERING
by EJHouseofSSK

Bahan-Bahan :
1 pinggan Nasi
1 biji Telur
1 batang Kacang Panjang | hiris kecil

Bahan Tumbuk Kasar :
8 tangkai Cili Kering | rendam sekejap dalam air panas - tos
3 ulas Bawang Merah
2 ulas Bawang Putih
Sedikit Ikan Bilis
Sedikit Belacan
Garam

Cara :
- Panaskan kuali
- Pecahkan telur, goreng hancur, angkat dan ketepikan
- Tambah minyak lagi secukupnya, biar panas
- Tumis bahan tumbuk hingga wangi dan garing. Jika terkering, tambah air sikit (guna air lesung tadi), kacau biarkan garing
- Masuk kacang panjang, kacau goreng hingga rata.
- Seimbangkan rasa (jika suka boleh bubuh kiub ikan bilis dan abaikan garam)
- Masukkan nasi, kacau sampai rata
- Masukkan telur tadi. Kacau goreng nasi rata-rata secara dibalik-balikkan sampai mengeluarkan asap yang banyak bermakna nasi goreng sudah cukup masak
- Angkat dan hidangkan



OPOR NANGKA Enak Menyelerakan

$
0
0

Restoran sajian masakan padang selalunya ada menu begini. Restoran atau kedai makan melayu jarang. Sekali imbas sama je rupa macam masak lemak. Cuma bezanya dari segi rasa dan kepekatan kuah. Kuah opor lebih pekat dan rasanya sedikit berempah.

EJ guna nangka saja untuk resipi ini. Tu pun dah cukup sedap. Rasa lemak, rasa rempah benar-benar terasa. Kena pula dengan kuah yang pekat bersalut penuh kat nangka confirm yang makan tu lupa berapa kali dah bertambah nasi hahha...

EJ sertakan resipi asal bersekali dengan nota untuk rujukan EJ sendiri. Jomm... 



OPOR NANGKA BERSAMA AYAM
cr Kak Zaidah

Bahan-Bahan :
1/2 ekor Ayam | potong kecil
300 gm Nangka Muda | potong, rebus + garam hingga empuk
2-3 batang Serai | ketuk
1 potong Lengkuas
5 helai Daun Limau
5 helai Daun Salam
Santan Pekat
Santan Cair

Bahan Kisar Halus (kisar dengan minyak+air) :
7 tangkai Cili Merah
1 biji Bawang Besar Merah
3 ulas Bawang Putih
2 inci Kunyit
1 inci Halia
2 sdb Biji Ketumbar | rendam dengan air panas
1 batang Kulit Kayu Manis
2 kuntum Bunga Lawang
3 biji Buah Pelaga
2 biji Buah Keras
1/2 biji Buah Pala | ketuk, ambil isi
1 keping Asam Keping


Cara :
- Masuk bahan kisar dalam kuali yang sudah dipanaskan dan masakkan tanpa minyak sambil dibalik-balikkan sehingga bertukar warna sedikit gelap dan kelihatan garing
- Masuk daun-daun, ayam, balikkan-balikkan pastu masuk santan cair dan nangka
- Perasakan dengan garam, biar sehingga ayam masak
- Masuk santan pekat, renihkan sehingga masak dan terbit minyak

Nota :
Ayam boleh ganti dengan Daging/Tetel/Tulang Kambing/Ikan Kurau Masin


OPOR NANGKA
by EJHouseofSSK

Guna nangka sahaja
Tambah Kiub Ikan Bilis
Santan pekat
- guna 1 kotak kecil santan (lebihkan minyak semasa kisar sebab santan kotak tak berminyak seperti santan fresh), masukkan pada step ke-2 bersama dengan kiub ikan bilis
Santan cair
- ganti dengan air secukupnya sahaja sebab masakan opor ni kuahnya kena pekat-pekat.
Daun salam - ganti daun bay kering


SOTONG GORENG KUNYIT Ala Mat Rock

$
0
0

Keenakan goreng kunyit mat rock disebut ramai. EJ tahu pun dari cerita my daughter, Puteri... katanya ada ayam, daging, sotong, udang. Semuanya sedap. Nampak sangat kita ni ketinggalan. Orang lain dah lama tau kita baru tau. Takpe ar janji kita tau semasa mat rock masih tengah hot nih. Tapi masa tu takat dengar aje tak ada seru nak test buat.

Sampailah dua minggu lepas masa kelam kelibut air tak ada. Waktu tu dah petang. Nak masak tak boleh jadi terpaksalah keluar dekat-dekat area rumah beli makan malam. Kedai pulak banyak tutup. Nasib baik food truck Mat Rock buka. Memang dah lama nampak food truck kat situ tapi tak pernah try pun. Asbab air tak ada, dapatlah mencuba pertama kali. Goreng kunyitnya simple... dituangkan kicap atas nasi berserta sambal. Sedapp! Patutlah femes.

Dah rasa baru timbul keinginan nak cuba sendiri. Stok sotong pun ada. Inilah masa main masak-masak try n error. Persoalannya adakah akan dapat rasa sama seperti mat rock? Hehhe... nak dapat hundred percent sama mustahil lah kan. Dapat hampir-hampir pun dah alhamdulillah... bolehlah SSK start survey satu food truck macam mat rock hik hik...

Sebab Puteri cakap rasa sama macam mat rock, boleh open order katanya maka EJ simpan resipi di sini.
Resipi tak ada sukatan tepat. Semua main campak-campak ikut suka.


SOTONG GORENG KUNYIT Ala Mat Rock
by EJHouseofSSK

Bersihkan sotong & tos, hiris ikut ketebalan yang disukai
Sediakan bahan perapan. Satukan tepung jagung, serbuk kunyit, serbuk cili, garam, gula, serbuk lada hitam
Gaulkan campuran perapan dengan sotong rata-rata (pastikan sotong betul-betul kering) dan perapkan sebentar
Goreng sotong dalam minyak yang banyak hingga masak. Angkat, tos dan ketepikan
Kurangkan minyak. Tumis cincangan bawang putih anggaran seulas dua hingga wangi
Masukkan sayuran kacang panjang, bawang holland dan karot. Tutup kuali sekejap, sehingga sayur sedikit layu.
Perasakan dengan sos ikan, kacau rata. Padamkan api.
Masukkan sotong yang digoreng tadi, gaul rata.

SAMBAL
Cili merah + cili api merah + tomato + belacan, goreng sekejap dengan sedikit minyak hingga sikit layu
Masukkan dalam blender, tambahkan garam & gula secukup rasa dan jus limau nipis
Kisar tanpa air. Ikut suka nak kisar kasar atau halus.

Hidangkan sambal bersama sotong goreng kunyit dan nasi putih


CUCUR TUNA & Lunturnya Cerminan Diri Dalam Isu Viral

$
0
0

Cucur tuna untuk breakfast ataupun minum santai-santai waktu petang
Sempoi tapi berhantu.
Nak nak cicah dengan sambal tumis ikan bilis tu...
Tak sedar dekat suku pinggan hilang masuk perut


SSK terpanggil untuk tulis sesuatu pasal isu viral jatuhkan air muka dan maruah orang lain secara terbuka

Tak tau nak kata apa. Dia begitu angkuh dengan kuasa viralnya. Tak dinafikan kuasa viral itu magic sedikit sebanyak boleh menjatuhkan atau menaikkan. Dia mengatakan kehadirannya ke tempat itu untuk memberi rezeki. Sedangkan pemberi rezeki ialah Allah SWT, bukan dia. Mungkin dia rasa dirinya dah cukup hebat lalu meletakkan maruah orang lain hanya dihujung jarinya dengan meviralkan. Dia lupa yang di atas sana lagi Maha Hebat. Kalau Dia nak tarik semua, sekelip mata je... Kun Faya Kun. Terang-terangan wujud perkataan makian, hinaan, lontaran kata-kata kasar dan kesat. Tak cukup dengan itu menghasut dan mengejek bentuk badan. Tapi semua itu seakan tak menjadi kudis pun pada si pelaku. Orang pula makin menggiler semua pakat follow ramai-ramai bagi sokongan padu sepenuh jiwa raga.

Kemana hilangnya susila adab pekerti dan akhlak murni yang menjadi keagungan orang melayu sekian lama? Di zaman sekarang yang segalanya dihujung jari ini mungkin ada yang dah lupa apa itu akhlak. Akhlak ialah budi pekerti, perangai, tingkah laku dan cerminan dari dalam diri seseorang yang berilmu dan beradab. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR al-Hakim). Perutusan Baginda adalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia, sekaligus menghendaki kita supaya bermuamalah dengan akhlak baik.

Tapi lain halnya hari ini. Akhlak semakin dilupa dianggap tidak lagi penting. Begitu juga jujur dan amanah semakin dipinggir. Ini disebabkan lunturnya adab kesopanan dan tatasusila walaupun orang tersebut berkelulusan tinggi, berpangkat, berharta, kaya raya.

Kalau ambil berat dan faham agama, sangat takut akan dosa kita pada orang sebab beratnya masa nak jumpa Allah nanti, fahami 2 tanggungjawab ini yang di larang samasekali dilakukan terhadap manusia lain. Pertama, jangan pernah sesekali menzalimi dengan perkataan. Kedua, lebih berat lagi jangan pernah sesekali menzalimi dengan perbuatan. Membuka aib orang juga termasuk perbuatan zalim.

Dosa manusia antara manusia jauh lebih berat berbanding dosa manusia dengan Allah. Dosa manusia dengan Allah bila-bila masa saja manusia boleh berazam untuk bertaubat. Sesungguhnya Allah, kata Baginda Rasulullah, akan terima taubat di waktu pagi kepada mereka yang bermaksiat di waktu malam. Dan Allah akan membuka pintu taubatnya di waktu malam kepada orang yang bermaksiat di waktu siang. 24 jam pintu taubat Allah tidak pernah ditutup oleh Allah SWT.

Ada pun dosa sesama manusia adalah dasarnya tuntut menuntut. Oleh yang demikian bila mana ada kesalahan antara manusia amat susah orang yang dizalimi untuk memaafkan kepada orang yang zalim. Tercabar perasaannya untuk memaafkan. Akan tetapi Allah SWT bila mana manusia ingin bertaubat kepada Allah, kata Allah, "Wahai hamba-Ku kalau kamu datang dengan sepenuh bumi ini dengan dosa, Aku datangkan dengan sepenuh bumi ini juga dengan pengampunan." Allah tidak mengira dosa seseorang bila mana orang mahu kembali kepada Allah SWT kecuali dosa menyekutukan-Nya.

Akan tetapi manusia kalau bersalah sedikit sahaja macam gunung besarnya kesalahan tersebut. Ini adalah kerana manusia lemah dan manusia susah untuk memaafkan. Dengan demikian Allah SWT amat mengambil berat tentang dosa antara manusia. Dalam satu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bertanyakan kepada sahabat : "Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?"

Rasulullah SAW berkata : "Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia."

Setiap manusia akan menuntut semula pembalasan ke atas setiap kezaliman yang pernah dilakukan seseorang itu di dunia dahulu. Antara dosa paling banyak dilakukan sesama manusia adalah disebabkan lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang-kala disalahgunakan untuk memaki-hamun, mencela, mencemuh, memfitnah, mengadu domba, mengumpat, menuduh orang dengan tuduhan jahat dan seumpamanya.

Barangkali ada manusia ketika di dunia terlepas daripada hukuman, tetapi di akhirat dia tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada menerima hukuman daripada Allah SWT. Begitu juga mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman berlaku juga tidak akan terlepas daripada mendapat balasan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jika kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." [Surah Hud : 113]

Oleh itu jangan meremehkan dosa sesama manusia. Bahkan antara haiwan dengan haiwan juga akan dituntut oleh Allah SWT. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan kambing yang bertanduk dan kambing yang tak bertanduk untuk diadili. Kambing yang dizalimi menuntut haknya kepada Allah kepada kambing yang zalim. Kambing ini pun akan dituntut oleh Allah SWT. Apatah lagi manusia yang diberi akal fikiran oleh Allah, diberi hati oleh Allah, diberi Quran oleh Allah, diberi Rasulullah, diberi hadith dan sunnah Rasulullah.

Fenomena akhir zaman semuanya jadi terbalik. Orang bohong dianggap jujur, yang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah, yang amanah dikhianati. Orang yang berdusta lebih dipercayai, yang berkata benar ditolak dan didustakan. Pemimpin yang batil diangkat disanjung, pemimpin yang hak diketepikan.

Tak semua kesalahan cukup hanya dengan minta maaf. Terutama yang melibatkan maruah dan harga diri. Orang yang menghambur cacian dan penghinaan tak akan ingat apa yang dia cakap malah mungkin dengan berani menidakkan. Tetapi orang yang menerima itu akan ingat sampai bila-bila hingga hujung nyawa.

Sakitnya dizalimi hanya orang yang pernah melaluinya saja yang tahu. Jadi waspada. Jangan sesekali zalimi orang. Jangan buka aib orang apatah lagi jika dibuka dihadapan ramai orang. Sesungguhnya Allah tak tidur. Semuanya pasti akan berbalik.

Kita yang melihat ini jangan sekadar melihat tapi ambil iktibar dan teladan supaya tak lakukan perkara yang sama. Ingat ini, jangan ditepuk air di dulang, nanti terpercik ke muka sendiri. Jangan dibuka aibnya orang, nanti terbuka aib sendiri.

Viewing all 285 articles
Browse latest View live